Sunday, January 3, 2010

LIMA CIRI TERBAIK MEMILIH SAHABAT

NASIHAT yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah saw) kepada anaknya:

Pertama, pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan.

Kedua, pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya) .

Ketiga, pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.

Keempat, pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.

Kelima, sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk kepentinganmu.

Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat
yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.

Sekian untuk renungan kita bersama.


SELAMAT DATANG BLOG "ILMU SAHABAT"


Assalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Segala puji-pujian terhadap Allah Tuhan semesta alam. Berkat salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhamad SAW.

Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana telah dapat membuka laman blog ini untuk sama-sama kita merenung dan menggali ilmu yang tersurat dan yang tersirat di dalam kitab-kitab muktabar untuk mendapat nur hidayahNya.

Saya terpanggil untuk menyediakan laman maya ini kerana saya berpendapat bahawa ilmu pengetahuan amat berguna untuk dijadikan bahan rujukan ke arah mentarbiahkan bukan sahaja kepada diri saya, malah untuk keluarga, sahabat-sahabat dan juga kepada semua yangu melayari laman blog 'Ilmu Sahabat' ini.

Saya mengharapkan sokongan anda semua dengan tanpa silu untuk mengemukakan pandangan yang membina supaya usaha murni mentarbiahkan syaksiah masyarakat dapat sama-sama dimanfaatkan.

Sesungguhnya saya juga menyedari betapa kerdilnya diri saya untuk mengangkat darjat ilmu di sisi Allah kerana saya bukanlah seorang ulamak muktabar, saya hanya insan biasa seorang hamba Allah yang cintakan ilmu untuk sama-sama kita menghayatinya.

Mudah-mudahan apa yang diusahakan ini dapat sama-sama kita menjiawainya. Kepada Allah dipohonkan hidayah dan kerahmatan. Amin.


Mohamad Haji Ibrahim
Panitia Ilmu Sahabat